Title : Persatuan teksi alu-alukan kerajaan lanjut tempoh baharui lesen memandu dan cukai jalan
link : Persatuan teksi alu-alukan kerajaan lanjut tempoh baharui lesen memandu dan cukai jalan
Persatuan teksi alu-alukan kerajaan lanjut tempoh baharui lesen memandu dan cukai jalan

Pemandu teksi dan e-panggilan menghargai keputusan kerajaan melanjutkan tempoh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu hingga 31 Disember ini, demikian menurut laporan FMT.
Presiden Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamaruddin Hussain, berkata keputusan itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap kesukaran dan rintihan rakyat.
“Kami bersyukur rayuan yang kami buat sejak awal Ogos lalu kepada menteri dan ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan diberi pertimbangan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat yang hari ini begitu terkesan dengan pandemik Covid-19,” Kamaruddin Hussain dipetik FMT sebagai berkata.
Kamaruddin bagaimanapun memaklumkan, pihaknya mendapat maklumat terdapat pemilik kenderaan dikenakan tindakan saman oleh polis kerana cukai jalan tamat tempoh meskipun penangguhan diberikan sebelum ini hanya akan tamat pada 30 September.
Beliau turut menggesa Kementerian Pengangkutan dan JPJ melihat isu terbabit.
Selain itu katanya, GTSM berharap isu ketidaksamarataan yang berlarutan sejak 2014 dalam industri teksi membabitkan perkhidmatan teksi dan e-panggilan harus diselesaikan secara adil dan tuntas.
“Ketika ini sekalipun kedua-dua perkhidmatan tersebut menjalankan aktiviti yang sama iaitu komersial, namun kerajaan terdahulu dengan sengaja dan sedar telah mewujudkan perbezaan, di mana perkhidmatan teksi ditakrifkan sebagai komersial sedangkan e-panggilan pula ditakrifkan sebagai persendirian.
“Sedangkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 jelas menyatakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan diguna sebagai kenderaan perdagangan,” katanya.
Terdahulu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan tempoh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu dilanjutkan hingga 31 Disember tahun ini.
Katanya, pemilik kenderaan yang cukai jalan dan lesen memandu sudah tamat tempoh tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh JPJ serta polis.
End©Permadu
![]() |
Disediakan oleh Jamaliah Mohd Salleh Wartawan Permadu Malaysia |
That's the article: Persatuan teksi alu-alukan kerajaan lanjut tempoh baharui lesen memandu dan cukai jalan
You are now reading the article Persatuan teksi alu-alukan kerajaan lanjut tempoh baharui lesen memandu dan cukai jalan with link address https://buganmao.blogspot.com/2021/09/persatuan-teksi-alu-alukan-kerajaan.html
Catat Ulasan